Pecah Rumah: Empat Warga Amerika Latin Dipenjara Setahun

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2016 6:17 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Empat lelaki warga Amerika Latin masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan beberapa kes pecah rumah sekitar Lembah Klang sejak 2008.

Kesemua tertuduh, Jeovan Andres Zamorano, Raul Ferwei Nino Queian, Ediverto Velderamma dan Jesus Evelio Ariza Silva mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Latin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh berusia antara 27 hingga 56 tahun, didakwa melarikan barang berharga antaranya cincin emas, rantai leher, jam tangan pelbagai jenama, beberapa botol minuman keras dan tablet komputer dengan memecah masuk rumah kediaman di sekitar Taman TTDI, Shah Alam, Bukit Rahman Putra dan Saujana Resort yang melibatkan jumlah kerugian sekitar RM165,000.

Kesalahan yang dilakukan antara 2008 hingga Mac tahun ini didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, tempoh penjara boleh dilanjut sehingga 14 tahun bagi kesalahan kedua serta denda dan sebat.

Ketika rayuan, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman penjara paling minimum iaitu enam bulan ke atas kesemua tertuduh atas alasan pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Beliau berkata pengakuan bersalah tertuduh yang memasuki negara ini sebagai pelancong juga mengurangkan beban tugas pihak timbalan pendakwa raya yang tidak perlu mengemukakan sebarang saksi untuk kes pecah masuk bermula 2008.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya Selangor Ng Wee Li. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: pecah rumah , Amerika Latin , hukuman penjara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan