Bekas Pemandu Karpal Singh Dibebaskan

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2016 3:04 PM

C. Selvam (kanan)

(Ubah saiz teks)

KAMPAR: Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, melepas dan membebaskan bekas pemandu mendiang Karpal Singh, C.Selvam, 29, daripada tuduhan memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian bekas Pengerusi DAP itu dan pembantu peribadinya, dua tahun lepas.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohamad Ibrahim memutuskan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua keterangan saksi-saksi pendakwaan, bahan bukti serta hujahan daripada pihak pendakwa dan pembela.

"Setelah mengambil kira semua itu, kamu saya bebaskan daripada tuduhan ini serta wang jaminan terhadap kamu dikembalikan semula kepada penjamin," katanya.

Selvam yang memakai baju kemeja putih dan seluar hitam itu kelihatan senyum dengan keputusan sejurus dibacakan jurubahasa Tamil.

Pada 9 Julai 2014, Selvam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu dengan cuai dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian Karpal dan Michael Cornelius.

Dia yang diwakili peguam Baljit Singh didakwa melakukan perbuatan itu ketika memandu kenderaan bernombor pendaftaran KS 9898 di Kilometer 306.1, Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara berdekatan Gua Tempurung, dekat sini kira-kira pukul 12.40 malam, 17 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab dan Nurul Azriah Zaid.

Terdahulu, Selvam yang merupakan warga India tiba ke mahkamah pada kira-kira pukul 9.45 pagi bersama Baljit dan penjaminnya, Datuk Huan Cheng Guan.

Sementara itu, Selvam ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berharap dapat pulang ke India dalam masa terdekat untuk menemui anggota keluarganya yang tidak ditemui sejak dua tahun lebih.

Selvam berkata beliau juga akan mengadakan upacara sembahyang sempena pembebasannya di negara ini serta negaranya sebaik pulang nanti.

"Berbanyak terima kasih kepada Datuk Huan yang membantu saya dari mula sehingga sekarang. Beliau telah membantu saya termasuk semua yang saya perlukan.

Terima kasih juga kepada peguam saya, Baljit Singh yang membantu saya sehingga saya bebas hari ini. Saya sungguh gembira, saya akan menemui keluarga saya, terima kasih semua," katanya dalam nada sebak.

Dalam pada itu, Huan berkata wang jaminan RM5,000 yang dikembalikan semula kepadanya hari ini, sebahagiannya akan diberikan kepada Selvam sebagai hadiah bagi menampung perbelanjaannya ke India.

"Saya lega kes ini sudah selesai akhirnya. Biarlah dia pulang semula ke negara asalnya. Yang penting saya sudah melakukan tanggungjawab sebaik yang saya mampu untuk menjaganya selama ini,'' katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan