Tukang Cat Kereta Didakwa Kendali Harta Pengganas Abu Sayyaf

Diterbitkan: Jumaat, 10 Jun 2016 12:58 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang tukang cat kereta yang didakwa memiliki bahan berkaitan militan Daesh, dua hari lepas, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan mengendalikan harta pengganas.

Muhammad Aizam Mat Zin, 39, didakwa dengan pengetahuan mengendalikan harta pengganas yang bernama Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, anggota Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf dengan cara memberikan wang sebanyak RM700 bagi kegunaan dan manfaat pengganas tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Ras Hartini Tom Yam Jalan 4/27A, Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini pada 11 malam, 26 Disember 2015.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta tersebut.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pada 8 Jun lepas, Muhammad Aizam didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan memiliki 65 keping kertas berukuran A3 dan tiga keping kertas berpelekat berukuran A4 berkaitan kumpulan militan Daesh di Nombor 27, Jalan PUJ 1/14, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pada 6.20 pagi, 22 Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: tukang cat , Abu Sayyaf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan