Pesara Tentera Didenda RM15,000 Rasuah Pegawai Imigresen

Diterbitkan: Jumaat, 3 Jun 2016 2:00 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang pesara tentera darat menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda RM15,000 selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada penguat kuasa Imigresen, Mac lepas.

Hakim S.Indra Nehru turut memerintahkan Termizi Mohamad, 69, dikenakan penjara tambahan enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut selepas mengambil kira faktor umur, tahap kesihatan dan ketidakupayaan tertuduh. 

Warga emas itu didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen, Abdul Majid Mohamed, di luar perkarangan rumahnya, PT 1235, Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Tekah Baru, Kampung Kepayang, pada 1.30 pagi, 24 Mac lepas.

Ia sebagai dorongan bagi melepaskan pekerja tertuduh yang ditahan kerana berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Termizi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa rayuan, peguam M. Kathan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh telah insaf dan membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dihadapkan ke mahkamah.

"Tertuduh telah berkhidmat selama 29 tahun dengan tentera darat. Beliau hanya menerima pencen sebanyak RM1,200 selain menghidap pelbagai penyakit termasuk isterinya. 

"Selain itu, tertuduh kini menjaga kedua-dua cucu perempuannya berumur tujuh dan lima tahun kerana anak lelaki tunggal tertuduh meninggal dunia pada 2012 akibat barah otak," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berdasarkan fakta kes dan juga pengakuan bersalah tertuduh.

Pihak pendakwaan turut meminta mahkamah melucutkan hak wang suapan RM3,000 dalam kes itu kepada SPRM.

Termizi menjelaskan denda berkenaan. -- Bernama




Tags / Kata Kunci: pesara tentera , Imigresen , rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan