Tiga Didenda RM16,500 Seorang Akibat Curi Kayu Gaharu

Diterbitkan: Ahad, 29 Mei 2016 6:09 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Tiga lelaki warga Indonesia masing-masing didenda RM16,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki hasil hutan kayu gaharu dan memasuki hutan simpan tanpa permit, Ahad lepas.

Hakim Salawati Djambari menjatuhi hukuman berkenaan selepas ketiga-tiga lelaki itu yang merupakan pemotong buah kelapa sawit itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagi tuduhan pertama, Hasan, 41, Gomgom Manurung, 33, dan Laurensius Molo, 31, didakwa bersama-sama memiliki hasil hutan iaitu kayu gaharu secara menyalahi undang-undang di kompartmen 15, Hutan Simpan Mersing, Mersing, pada 10.15 pagi, 22 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama-sama didakwa memasuki hutan terbabit tanpa permit pada waktu dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 47 (4) Akta Perhutanan Negara 1985.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan pertama, Salawati menetapkan mereka didenda RM15,000 setiap seorang dan 15 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda itu manakala RM1,500 setiap seorang bagi kesalahan kedua dan lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh kerana kes berkenaan adalah serius memandangkan kayu gaharu mempunyai nilai tinggi berbanding hasil hutan lain.

Peguam Aziz Shukor yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah menetapkan denda paling minimum atas alasan anak guamnya kesal dengan perbuatan terbabit.

Aziz berkata anak guamnya juga tidak mempunyai kefahaman terhadap perbuatan memasuki hutan tanpa permit adalah salah selain tidak mempunyai pendapatan tetap iaitu antara RM700 dan RM900 sebulan sebagai pemotong buah kelapa sawit.

Tags / Kata Kunci: Kayu Gaharu , Hutan Simpan

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan