Kes Hasutan Rahim Thamby Chik Dibicara 20 September

Diterbitkan: Isnin, 23 Mei 2016 12:54 PM

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hadir ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam, April lalu melibatkan tuduhan menghasut.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan empat hari bermula 20 Sept depan untuk perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Mohd Dusuki memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju supaya kes itu dibicarakan bermula 20 sehingga 23 September depan.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa kira-kira 10 saksi pendakwaan akan memberi keterangan menerusi pernyataan saksi mengikut Seksyen 402B Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Ahmad Al-Hady Abdul Razak yang mewakili Abdul Rahim pula memaklumkan pihaknya masih belum memuktamadkan jumlah saksi pembelaan yang akan dipanggil memberi keterangan.

Abdul Rahim, 65, didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebooknya, Rahim Tamby Chik, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada kira-kira 8 pagi, 25 September lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Abdul Rahim turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan akaun Facebook miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  -- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan