Hukuman Mati Lelaki Bunuh Timbalan Pengarah Veterinar Dikekalkan

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2016 3:32 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pengawal keselamatan kerana membunuh timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak hampir lima tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Syahmie Hassan untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

Lelaki berusia 25 tahun itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 31 Julai tahun lepas kerana membunuh Dr Rohani Kasim, 38, di pangsapurinya di Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Ulu Kinta, Perak antara 6 petang dan 7.30 malam pada 3 Ogos 2011.

Bukti menunjukkan bahawa Syahmie memecah masuk ke dalam pangsapuri Dr Rohani dengan niat untuk mencuri. Apabila gagal menjumpai barang berharga, lelaki itu menunggu kepulangan wanita berkenaan.

Ketika berlaku pergelutan, Dr Rohani menggigit jari penyerangnya dan sebagai tindak balas, lelaki itu menolaknya hingga terjatuh dan kepalanya terhantuk pada meja. Apabila mendapati wanita itu masih hidup, tertuduh menjerut mangsa dengan kain langsir hingga wanita itu tidak lagi bernyawa.

Tertuduh kemudian menyetubuhi mayat mangsa.

Syahmie, yang memakai pakaian penjara berwarna putih dan merah, kelihatan tenang ketika mahkamah menyampaikan keputusannya.

Ketika menyampaikan keputusan beliau, Tengku Maimun berkata tidak terdapat kekhilafan dalam dapatan hakim Mahkamah Tinggi untuk dirayu dan campur tangan Mahkamah Rayuan adalah tidak diperlukan.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Terdahulu, peguam Rafael Abdullah, yang mewakili Syahmie, dalam hujahnya berkata anak guamnya mengalami gangguan bipolar dan oleh itu, tidak sepatutnya disabitkan kesalahan membunuh dan sebaliknya, hanya ditahan selama perkenan Sultan Perak kerana keadaannya tidak siuman.

Rafael berkata Syahmie menerima rawatan perubatan setahun sebelum kejadian itu berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, bagaimanapun meminta mahkamah mengekalkan sabitan kesalahan terhadap lelaki itu dan tegas beliau, perbuatan tertuduh menyetubuhi mayat mangsa adalah kerana dia mempunyai nafsu yang kuat, bukan kerana tidak siuman.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan