Blogger Sambilan Didakwa Muat Naik Gambar Palsu Babitkan PM

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2016 4:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang blogger sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas pertuduhan memuat naik pautan memaparkan gambar palsu perdana menteri bertujuan menyakitkan hati orang lain, di laman Facebooknya.

Abdul Muhaimin Mohd Muhayedi, 27, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook "Adam Mukhriz Muhayeddin" secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada pukul 1 tengah hari, 20 Oktober 2015.

Pautan itu kemudian dibaca oleh seorang blogger lain di Blok A, Tingkat 5, No 8, Pangsapuri Ampang Mewah, Jalan Mewah 6, Ampang Jaya, di sini pada pukul 9.45 pagi, 22 Okt 2015.

Abdul Muhaimin didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar membantah jaminan itu kerana anak guamnya tidak mempunyai sebarang kebarangkalian untuk melarikan diri dan  juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan akan hadir ke mahkamah pada mana-mana tarikh yang ditetapkan.

"Kes ini tidak memerlukan sebarang jaminan dari segi wang ringgit, sepanjang tempoh laporan polis dibuat sehingga kini, tertuduh telah beri kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat, polis serta pihak pendakwa raya," katanya.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes.

Tags / Kata Kunci: Blogger

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan