Rancang Eksperimen Bom: Dua Beradik Dihukum Penjara 25 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2016 1:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan yang menegaskan perbuatan dua beradik yang merancang melakukan eksperimen bom boleh menyebabkan kematian orang awam dan kemusnahan harta benda, menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap mereka.

"Mahkamah bertanggungjawab dalam memberi hukuman yang berat bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku dan memberi pengajaran kepada kesemua tertuduh serta masyarakat," katanya sebelum menjatuhkan hukuman itu terhadap  Mohd Anwar Azmi, 34, dan adiknya Mohd Nurakmal, 31.

Dua beradik itu yang merupakan peniaga kedai baja didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan membuat rancangan untuk melakukan ujian letupan bom di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor pada April 2015.

Dua rakan mereka, peniaga air Izwan Shameer Suzaimi, 26, dan pekerja kedai tayar Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 23, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini pada tarikh sama.


Nordin memerintahkan keempat-empat tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkap pada 25 April tahun lepas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, Selangor antara 7 malam, 24 April 2015 dan 1 pagi keesokannya, mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Ketika menyampaikan penghakimannya, Pesuduhjaya Kehakiman itu berkata mahkamah menerima keterangan saksi pihak pendakwaan bahawa mereka ke Gunung Nuang, Hulu Langat, dekat sini, bukan untuk berkhemah tetapi dengan tujuan untuk melakukan eksperimen bom di situ.


"Dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan juga, memberitahu kesemua mereka pergi ke gunung tersebut dengan masing-masing membawa segalas beg yang mengandungi bahan-bahan untuk melakukan ujian tersebut dan bukannya barang perkhemahan," katanya.


Bagaimanapun, Nordin berkata mahkamah mengambil kira faktor rayuan oleh peguam mewakili keempat-empat tertuduh yang memohon pemenjaraan yang minimun bagi mereka.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 27 Mei untuk jatuh hukum terhadap seorang lagi rakan mereka iaitu remaja lelaki berumur 17 tahun yang turut didapati bersalah, bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh adalah serius selain memberi pengajaran kepada orang awam.

Dua beradik itu diwakili peguam Naizatul Zamrina Karizaman manakala Izwan Shameer dan Muhammad Luqman Hakim masing-masing diwakili peguam Wong Kar Fai dan Faizal Rahman dan peguam Nik Zarith Nik Moustpha mewakili remaja itu.


Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Mohd Hafifi Tarmizi, 26, yang bekerja sebagai penjaga stor, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh mahkamah yang sama pada 16 November tahun lepas, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mempromosi perbuatan keganasan.

Tags / Kata Kunci: tuduhan keganasan , hukuman penjara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan