Ibu Tujuh Anak Didenda Kerana Abaikan Anak Hingga Mati

Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 5:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Anak adalah anugerah Tuhan, apa sahaja masalah, anak bukan tempat untuk kamu lepaskan geram.

"Kamu sepatutnya bertanggungjawab, ramai orang mahukan anak tetapi tidak dapat memiliki anak. Saya memandang serius kesalahan ini," kata Hakim Suraiya Mustafa Kamal terhadap sepasang suami isteri di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, Isnin.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman denda RM25,000 terhadap suri rumah Nor Zuliana Tahir, 34, selepas dia mengaku bersalah melakukan pengabaian dan dengan cuai menyebabkan kematian anak kandungnya Muhammad Akhil Mustaqim Rasidy pada 2014.

Bagi pertuduhan mengabaikan anaknya, Nor Zuliana yang mempunyai tujuh anak dan kini sarat mengandung lapan bulan, didenda RM15,000 dan RM10,000 bagi satu lagi pertuduhan iaitu dengan cuai menyebabkan kematian anaknya.

Suaminya, Zuhairi Kassim, 40, pemandu teksi, didenda RM15,000 atas pertuduhan bersama-sama melakukan pengabaian terhadap Muhammad Akhil Mustaqim, yang merupakan anak tirinya.

Bagi pertuduhan melakukan pengabaian, mahkamah memerintahkan pasangan itu dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda manakala bagi pertuduhan dengan cuai menyebabkan kematian, Nor Zuliana diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Mereka menukar pengakuan kepada bersalah hari ini, yang ditetapkan untuk mereka membela diri.

Sebelum ini, pasangan itu mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, Ampang dekat sini pada 12.30 tengah hari 23 hingga 26 Mei 2014.

Bagi kesalahan melakukan pengabaian, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan cuai menyebabkan kematian, Nor Zuliana didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagaimanapun, mahkamah meminda pertuduhan daripada Seksyen 304 (a) kepada Seksyen 304A yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadzlin Zawawi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah serius malah, melibatkan anak kandung sendiri.

Peguam Ariff Amirul Abdul Jani, yang mewakili kedua-dua tertuduh, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sahaja dengan alasan Nor Zuliana sedang mengandung lapan bulan manakala Zuhairi perlu menjalani pembedahan jantung.

Terdahulu, Nor Fadzlin memaklumkan seramai 13 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan dan akan memfailkan rayuan terhadap hukuman itu ke Mahkamah Tinggi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan