Pemandu Teksi Didenda Cederakan Anak, Pecahkan Pintu Bilik

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2016 5:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah mencederakan anak perempuannya dan melakukan khianat dengan memecahkan pintu bilik rumahnya.

Majistret Mahyudin Mohd Soh menjatuhkan hukuman denda RM800 atau sebulan penjara terhadap P.Siva, 37, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuannya yang berumur 13 tahun serta mendendanya RM400 atau 15 hari penjara kerana melakukan khianat dengan memecah pintu bilik rumahnya.

Dia membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Blok J32, Rumah Panjang Kawasan A, Jinjang Utara di sini pada 3.30 petang, 30 April lepas.

Terdahulu, peguam Muhammad Hafeez Johan yang mewakili tertuduh, merayu  mahkamah agar anak guamnya hanya dikenakan denda kerana dia menanggung isteri dan dua anaknya.

Hafeez berkata anak guamnya itu bertindak sedemikian selepas mengetahui anak perempuannya telah menipunya selain mahu mendisplinkannya namun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Di Mahkamah Majistret lain, seorang mekanik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri wang tunai RM4,000 milik seorang warga emas berusia 78 tahun.

Muhammad Fareez Abdullah, 26, didakwa memecah masuk rumah itu dengan mengumpil cermin tingkap dan memecah tingkap serta mencuri wang tunai milik Mehender Kaur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Air Dusun, Setapak, Wangsa Maju di sini pada 4 pagi sehingga 5.30 pagi, 29 Februari lepas mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal tidak menawarkan  jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Faizi Che Abu memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana dia masih tinggal bersama ibu bapanya dan mereka boleh memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Jun ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pemandu teksi , denda , khianat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan