Pengusaha Teksi Didenda RM10,000 Terima Suapan

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2016 2:00 PM

Radzali didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas mengaku bersalah menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada seorang pemandu teksi Julai tahun lepas.
-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang pengusaha syarikat teksi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada seorang pemandu teksi bagi menyelesaikan satu kes, Julai tahun lepas.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Radzali Attan, 55, menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Radzali didakwa menerima wang itu daripada Mohd Yunos Wahab sebagai dorongan dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas penjawat awam iaitu pegawai daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menyelesaikan kes yang dihadapinya di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Mohd Yunos melakukan kesalahan itu ketika memandu teksi bernombor HJA 1000 pada 7 Jun 2015.

Radzali yang juga bekas Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Muar dituduh menerima suapan terbabit di rumahnya di Lorong Hajah Salamah, Off Jalan Bakar Batu, Muar pada 1.15 tengah hari, 13 Julai 2015.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, dituduh mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya.

Radzali yang tidak diwakili peguam dan sudah tidak bekerja dalam rayuannya, memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan tiga daripada 11 anaknya masih bersekolah, seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU) manakala dia sendiri sedang menjalani rawatan hospital akibat sakit tulang belakang.

Radzali kemudian membayar denda berkenaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pengusaha teksi , denda , rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan