Petisyen Perceraian Jutawan Terhadap Bekas Ratu Cantik Didengar Di Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 28 April 2016 6:29 PM

Tan Sri Khoo Kay Peng

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng boleh meneruskan petisyen perceraian terhadap bekas isterinya, bekas Ratu Cantik  Malaysia Puan Sri Pauline Chai Siew Phin di mahkamah di Malaysia.

Ini berikutan keputusan panel tiga orang hakim Mahkamah Persekutuan yang  diketuai Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar menolak permohonanan bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 Jun, tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian yang difailkan oleh Khoo.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Chai, 69, tidak mempunyai hak untuk memilih tempat bermastautin mengikut pilihannya kerana kaedah common law yang menyatakan tempat bermastautin isteri mesti mengikut tempat bermastautin suami, adalah sah mengikut perlembagaan dan terpakai di Malaysia.

Hakim Justice Suriyadi yang bersidang bersama Hakim Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Zainun Ali dengan sebulat suara menolak permohonan Chai bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan dan memerintahkan Chai membayar kos sebanyak RM20,000.

Chai, bekas Ratu Cantik Malaysia/Antarabangsa 1969 mahu mahkamah di England membuat keputusan mengenai prosiding perceraian kerana mendakwa beliau tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan kini menetap di England sementara Khoo, 77, mahu kes perceraian itu didengar di mahkamah di Malaaysia.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 1970 dan mempunyai lima orang anak yang sudah dewasa.

Khoo ialah pengerusi syarikat pemegang pelaburan antarabangsa Malayan United Industries Bhd dan memiliki 44 peratus peruncit fesyen dan hiasan dari UK,  Laura Ashley Holdings.

Pada 28 November 2014, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian yang difailkan oleh Khoo dan keputusan ini dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Chai telah memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London pada 14 Februari 2013, menuntut pampasan perceraian sebanyak 500 juta pound (RM2.75 bilion).

Chai dilaporkan akan memperoleh sebahagian kecil daripada harta jika kes itu diputuskan mengikut undang-undang Malaysia.

Sebelumnya, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Chai berhujah bahawa ada persoalan undang-undang berkaitan isu kaedah common law mengenai tempat bermastautin isteri yang harus diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana ia akan memberi kebaikan kepada orang ramai.

Beliau berhujah bahawa permohonan perundangan anak guamnya bukan bersifat akademik kerana kesahihan tempat bermastautin akan menentukan sama ada mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa ke atas beliau.

Peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Koo berkata permohonan Chai bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan adalah bersifat akademik kerana beliau telah memperoleh "decree nisi" dari mahkamah di London pada 7 Jan tahun ini.

Beliau berkata persoalan-persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh peguamnya untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak lagi relevan kepadanya kerana beliau telah memilih untuk mendapatkan relif dari mahkamah di London.

Di luar mahkamah, Das memberitahu pemberita bahawa susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, keputusan Mahkamah Rayuan masih kekal dan anak guamnya akan dibenarkan untuk meneruskan petisyen perceraian di Malaysia yang difailkan pada Disember 2014.

Sementara itu, peguam mewakili Chai, New Sin Yew memberitahu pemberita bahawa pada masa yang sama, prosiding kewangan sedang dijalankan di mahkamah di  London bagi tujuan pembahagian aset-aset hasil perkahwinan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan