Tertuduh Lari Dari Kampung Tanduo Tanpa Bapa Mertua

Diterbitkan: Isnin, 25 April 2016 4:42 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang tertuduh warga Filipina dalam kes pencerobohan Lahad Datu telah meninggalkan bapa mertuanya di Kampung Tanduo di Lahad Datu untuk menyelamatkan dirinya daripada penceroboh bersenjata, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Isnin.

Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52, berkata dia memutuskan untuk melarikan diri bersama-sama bapa mertuanya selepas berlaku serangan di kampung itu pada 1 Mac, 2013, tetapi bapa mertuanya enggan mengikutnya.

"Sebenarnya, waktu kejadian bertembak, saya ingin membawa bapa mertua saya (melarikan diri), tetapi dia beritahu saya yang dia tidak cukup kuat dan ada kemungkinan kami akan ditangkap dan dibunuh oleh pihak sekuriti sultan Sulu.

"Dia kata lebih baik saya lari seorang diri untuk menyelamatkan diri dan kalau ada peluang, menyerah diri kepada kerajaan Malaysia," katanya yang memberi keterangan dalam bahasa Bajau dan diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Patulada membela diri terhadap pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo pada 2013.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar semasa pemeriksaan balas, tertuduh berkata dia cuba memaksa bapa mertuanya melarikan diri daripada kampung itu bersama-samanya, tetapi bapa mertuanya berkeras supaya dia melarikan diri tanpanya.

"Akhirnya, saya lari seorang diri dengan berlinangan air mata," katanya.

Dia memberitahu mahkamah yang dirinya tidak tahu apa yang berlaku ke atas bapa mertuanya selepas melarikan diri daripada Kampung Tanduo.

Patulada berkata bapa mertuanya membawa dia bersama-sama ke Kampung Tanduo untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi seorang 'sultan Sulu'.

Katanya seorang lelaki dikenali 'Haji Musa' telah menunjukkan kepada bapa mentuanya sepucuk surat daripada kerajaan Malaysia yang membenarkan mereka masuk ke Sabah dan bahawa tidak akan ada perang.

Tertuduh memberitahu mahkamah yang mereka menaiki bot untuk ke Kampung Tanduo pada Februari 2013 dan selepas kira-kira setengah jam perjalanan, dia lihat kalangan anggota keselamatan 'sultan' mengeluarkan senjata api.

Menurutnya dia diberitahu senjata api itu sebagai perlindungan terhadap lanun dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penculikan yang boleh berlaku di laut.

Tetapi sebaik tiba di Kampung Tanduo, tertuduh berkata lelaki terbabit masih membawa senjata api dan senjata lain sedangkan tidak lagi berdepan sebarang ancaman lanun dan Abu Sayyaf.

Patulada tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Dusuki bahawa dia turut diberikan senjata semasa di Kampung Tanduo dan memberitahu mahkamah dia berasa takut dan mendapati agak aneh apabila penceroboh terbabit membawa senjata api di kampung itu.

"Yang saya tahu bahawa adalah satu kesalahan membawa senapang di Sabah, tetapi saya tidak berani cakap dengan mereka (penceroboh) kerana saya takut," katanya.

Sebanyak 13 warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 12 Februari dan 10 April, 2013.

Beberapa daripada tertuduh menghadapi antara satu dan beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Lainnya dituduh sengaja melindungi individu yang mereka ketahui menjadi anggota kumpulan pengganas atau bekerjasama atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung pada Selasa. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Kampung Tanduo , Lahad Datu

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan