Tiga Aktivis Dibenar Rujuk Isu Perlembagaan Ke Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 22 April 2016 3:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis membenarkan permohonan tiga aktivis termasuk seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk merujuk isu perlembagaan berhubung Akta Perhimpunan Aman 2012 ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Mahyudin Mohamad Som membenarkan permohonan mereka selepas mendapati persoalan-persoalan yang dikemukakan melibatkan isu perlembagaan yang memerlukan penafsiran daripada mahkamah lebih tinggi.

"Sehubungan itu mahkamah ini menggantung sementara prosiding di mahkamah ini sehingga permohonan selesai dan menetapkan 23 Jun untuk sebutan kes ini," katanya.

Adun Teja Chang Lih Kang, 36, pegawai khas Anggota Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasip, 39, dan anggota PKR, Lee Chean Chung, 35, mengemukakan permohonan untuk mencabar beberapa isu iaitu sama ada Seksyen 4(1)(c), dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah bercanggah dengan perkara-perkara 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 8 Sept tahun lalu, mereka mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac 2015.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) APA 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Mereka diwakili peguam Eric Paulsen manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Adilah Nordin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan