Mahkamah Tolak Rayuan Anina Berhubung Pemecatan Keahlian Umno

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 1:01 PM

Anina Saadudin

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan oleh bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin berhubung pelucutan keanggotaannya dalam parti itu.

Hakim David Wong Dak Wah membuat keputusan itu atas alasan bahawa sebarang pertikaian dalam mana-mana parti politik perlu diselesaikan di luar mahkamah.

Dua defendan dalam saman itu ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Rayuan itu difailkan selepas Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu pada 7 Disember tahun lepas.

Anina, 40, memfailkan saman terhadap Tengku Adnan dan Ab Rauf pada 11 September mendakwa pemecatannya daripada parti itu tidak sah di bawah Perlembagaan Umno.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anina berkata, di bawah Fasal 20 Perlembagaan Umno, kuasa untuk memecat ahli Umno hanya boleh dilakukan oleh lembaga disiplin parti yang dilantik oleh ahli Majlis Tertinggi Umno.

Beliau mendakwa Tengku Adnan telah mengedarkan surat pemecatan itu kepada media dan orang ramai pada 1 dan 2 September sebelum menyerahkan surat itu kepada beliau secara peribadi.

Anina mendakwa bahawa percubaan untuk mengusir beliau daripada parti di bawah Fasal 20.7 perlembagaan parti adalah  tidak sah.
Tags / Kata Kunci: ahli Umno , Anina Saadudin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan