Rasuah: Mahkamah Kekal Hukuman Terhadap Pembantu Penguat Kuasa DBKL

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 3:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 terhadap pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memperoleh rasuah, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Mohd Nasir Danuri, 47, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen pada 11 September tahun lalu.

Nordin berkata keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu adalah betul dan mengikut kehendak undang-undang.

Beliau juga membenarkan permohonan Mohd Nasir yang diwakili peguam Datuk R. S Sodhi bagi menangguhkan keputusan itu sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan dan mengekalkan jumlah jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Nasir didakwa memperoleh rasuah berjumlah RM1,000 daripada Chew Hian Tat, seorang pemilik restoran, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Restoran Suria Teh Tarik kerana tidak memiliki lesen premis perniagaan yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di restoran berkenaan, di No. 6, Jalan MRR2, Batu 4, Lot 4868, Ampang, di sini, pada 12 tengah hari, 24 Oktober 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Akta SPRM , DBKL , Mohd Nasir Danuri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan