Gobalakrishnan Mohon Maaf Kepada Saravanan, Kes Saman Fitnah Selesai

Diterbitkan: Isnin, 18 April 2016 5:40 PM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan (tengah) bersama peguamnya V.Premshangar (kiri) dan B.Muralidharan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan terhadap N. Gobalakrishnan selesai selepas bekas Anggota Parlimen Padang Serai itu memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Saman itu berhubung kenyataan dikeluarkan Gobalakrishnan dalam satu sidang akhbar di Hotel Sri Pacific Kuala Lumpur pada 7 Julai 2015 yang mendakwa naib presiden MIC itu seorang penipu.

Kes saman itu selesai selepas Gobalakrishnan, selaku defendan membacakan permohonan maaf itu di hadapan Hakim S. Nantha Balan.

Gobalakrishnan ketika membacakan permohonan maaf itu dalam bahasa Inggeris berkata:"Saya, Gobalakrishan, defendan dinamakan dalam saman ini, dengan ini mengaku telah memanggil satu sidang media pada 7 Julai, 2015 di Hotel Sri Pacific Kuala Lumpur dan menyebabkan perkataan-perkataan itu diterbitkan dan/atau menyebabkan perkara berkaitan Saravanan diterbitkan berkaitan surat layang yang saya terima pada 30 Jun , 2015".

Gobalakrishan juga mengaku 'posting' dibuatnya mengenai penerbitan itu telah menarik banyak perhatian dan komen dan telah menyebabkan artikel berita diterbitkan termasuk artikel dalam media alternatif Rakyat Post pada 7 Julai, 2015.

"Bagi mereka yang telah membaca artikel-artikel itu susulan penerbitan dan komen saya, saya kini menerima, tanpa berkecuali, adalah berunsur fitnah dan tidak benar.

"Saya juga menerima bahawa perbuatan saya yang membawa kepada penerbitan artikel-artikel itu telah mengaibkan dan menyebabkan plaintif (Saravanan) tertekan dan saya ingin mengambil peluang ini untuk menjelaskan situasi itu kepada mereka yang telah membaca artikel-artikel itu akibat daripada sidang media itu," katanya dan menurutnya beliau menarik balik semua kenyataannya itu tanpa syarat.

Gobalakrishan berkata beliau menyesal dan dengan itu memohon maaf atas perbuatannya membuat, menerbitkan dan menyebabkan kenyataan itu diterbitkan dan kerana menyebabkan tohmahan dilemparkan terhadap plaintif, dan/atau jawatannya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Belia dan Sukan dan/atau Naib Presiden Kongres India SeMalaysia dan/atau Pengasas Yayasan Tindakan Gerakan Affirmatif Baru (NAAM).

Mahkamah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan dan mengucapkan terima kasih kepada peguam kedua-dua pihak dan juga kepada Saravanan, yang turut hadir pada prosiding hari ini kerana berbesar hati menyelesaikan kes tanpa menuntut ganti rugi dan kos.

Terdahulu peguam V. Premshangar, yang mewakili Saravanan memaklumkan kepada mahkamah terdapat penyelesaian dalam kes anak guamnya iaitu Gobalakrishan, selaku defendan akan memohon maaf kepada Saravanan dengan membaca kenyataan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah.

Peguam M. Manoharan, mewakili Gobalakrishan berkata anak guamnya bersetuju untuk membaca kenyataan maaf dan tidak akan menerbitkan semula kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Pada 7 Ogos 2015, Saravanan memfailkan saman terhadap Gobalakrishan berhubung dakwaan menggambarkan beliau sebagai seorang penipu dan tidak bertangggung jawab.

Dalam pernyataan tuntutannya, Saravanan mendakwa Gobalakrishnan telah membuat kenyataan yang tidak benar dan palsu mengenai plaintif berhubung jawatannya dalam MIC dan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Belia dan Sukan selain pengerusi NAAM ketika sidang akhbar di Hotel Sri Pacific Kuala Lumpur pada 7 Julai 2015.

Plaintif mendakwa kenyataan itu telah diterbitkan oleh media alternatif pada hari sama selain mendakwa perkataan tersebut antara lain membawa maksud beliau seorang yang tidak jujur, tidak berintegriti, suka mengawal atas sebab jawatannya dalam MIC selain penipu dan tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, khas, teladan dan teruk selain memohon defendan menarik semula kata-kata tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan