SPR Tidak Nafi Anwar Sebagai Pengundi Permatang Pauh

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 5:57 PM

Anwar Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menafikan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengundi bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh, kata Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh.

"Nama Anwar masih wujud dalam daftar pengundi dan SPR tidak mengatakan yang beliau hilang kelayakan sebagai pengundi," kata Amarjeet.

Namun, oleh kerana Anwar berada di penjara, beliau perlu memohon kepada Jabatan Penjara untuk membawanya keluar mengundi.

Tetapi Anwar tidak memohon kepada pihak berkuasa penjara, kata Amarjeet.

Amarjeet memberitahu pemberita pada Selasa selepas kedua-dua pihak mengemukakan perkara itu dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Peguam N. Surendran, yang mewakili Anwar bagaimanapun berkata tindakan undang-undang anak guamnya ditujukan khusus kepada kenyataan yang didakwa dikeluarkan bekas pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa Anwar hilang hak mengundi kerana dipenjara.

Surendran berkata, "Soal Anwar perlu mendapatkan kebenaran jabatan penjara untuk membolehkannya pergi mengundi bukan isu".

Anwar menyaman SPR dan Abdul Aziz dan kerajaan kerana dikatakan menghalangnya dari mengundi pada pilihan kecil Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei tahun lepas.

Pada 6 Mei tahun lepas, Anwar, bekas anggota parlimen Permatang Pauh, mengemukakan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mengenai haknya untuk mengundi sebagaimana diperuntukkan pada Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Selain ganti rugi dan kos, Anwar, 68, mahukan pihak pembela mengambil langkah wajar untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.

Dalam affidavit sokongan, Anwar mendakwa pada 30 April tahun lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz bagi pengesahan berkaitan kelayakannya untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu, tetapi tiada respons diterima daripada mereka hingga hari ini.

Anwar mendakwa tindakan SPR dan Abdul Aziz tidak menjawab suratnya telah menafikan hak beliau sebagai seorang pengundi dan melanggar Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana kesalahan meliwat pembantunya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , SPR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan