Kevin Morais Kemungkinan Mati Akibat Kelemasan - Pakar Forensik

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 6:15 PM

Pakar Kimia, Nor Aidora Saedon membuka barang kes iaitu bungkusan guni yang digunakan untuk meletak mayat mendiang Kevin Morais di Mahkamah Tinggi, baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais berkemungkinan besar mati akibat kelemasan udara atau 'probable asphyxiation', Mahkamah Tinggi diberitahu.

Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 51, berkata Kevin Morais telah melalui satu keadaan faktor luaran yang menyebabkannya tidak dapat bernafas dan mengalami kekurangan oksigen atau  ketiadaan oksigen.

"Berdasarkan bedah siasat mayat, sebab kematian si mati adalah "probable asphyxiation', oleh itu saya berpendapat kemungkinannya (kelemasan udara) adalah tinggi sebabkan kematian si mati," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan hari keempat kes pembunuhan Kevin Morais di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Ditanya mengapa beliau berpendapat sedemikian, saksi itu berkata jasad Kevin Morais telah menjalani proses pembusukan dan bukan dalam keadaan segar, yang boleh menampakkan kesan kelemasan udara.

Saksi ke-11 itu juga berpendapat kemungkinan tinggi Kevin Morais telah mati sebelum dimasukkkan ke dalam karung guni yang kemudiannya dimasukkan ke dalam tong dram.

"Ini berdasarkan tiada kesan-kesan menunjukkan beliau bergerak, kesan pergelutan atau kesan meronta pada anggota bahagian tangan dan kaki. Posisi si mati masih dalam keadaan tidak normal iaitu keadaan "fetal like position" ( kedudukan seperti janin)," katanya.

Enam lelaki - G. Gunasekaran, 48, R. Dinishwaran, 24, A. K. Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya. 

Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa. 

Dr Nurliza berkata hasil bedah siasat juga menunjukkan tujuh kesan kecederaan pada si mati yang bersesuaian dengan kesan darah beku antaranya pada bahagian kiri atas bibir, bahagian kiri tulang selangka iaitu bahagian atas hadapan dada dan di punggung kiri.

"Hasil siasatan mendapati tiada kelihatan kesan-kesan kecederaan berbentuk 'defensive wound' (kecederaan akibat mempertahankan diri) pada bahagian tangannya," katanya yang berpengalaman dalam bidang forensik selama 20 tahun.

Merujuk kepada laporan bedah siasat yang menyatakan muka Kevin Morais kelihatan lebih gelap, Dr Nurliza berkata "sign of congestion" (tanda kongesi)boleh kelihatan pada seluruh bahagian muka dan kepala Kevin Morais kerana bahagian tubuh badan lain tidaklah segelap bahagian kepalanya.

"Tanda kongesi adalah salah satu tanda pada seseorang itu mengalami asphyxia (kelemasan) akibat pengumpulan darah dalam salur darah yang mengakibatkan ketiadaan oksigen dan bahagian muka menjadi gelap atau biru kehitaman," katanya.

Wan Shaharuddin: Adakah keadaan ini konsisten dengan keadaan mangsa yang diserkup dengan beg plastik?

Dr Nurliza: Pada pendapat saya, dalam keadaan muka dan kepala diserkup dengan beg plastik, seseorang itu akan mengalami kesukaran bernafas kerana kemasukan oksigen terhalang terutamanya jika beg plastik itu diketatkan di bahagian leher.

Wan Shaharuddin: Adakah mangsa dijerut leher dengan tali pinggang?

Dr Nurliza: Jika ada impak atau trauma yang kuat pada bahagian leher seperti dalam keadaan "jerutan secara manual" iaitu menggunakan tangan biasanya akan terdapat kesan patah pada tulang kerongkong tetapi dalam kes ini tiada kesan kepatahan.

Dr Nurliza turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengesahkan mayat Kevin Morais dalam laporan bedah siasat bertarikh 22 Oktober 2015 selepas identiti mangsa disahkan konsisten dengan profil DNA adik beradiknya.

Beliau memberitahu mahkamah bedah siasat itu dijalankan bersama Dr Ahmad Hafizam Hasmi selepas mereka menerima mayat daripada pihak polis pada 3.05 petang 16 September 2015.

Ditanya mengapa dua pakar forensik terlibat dalam bedah siasat itu, Dr Nurliza menjawab mereka difahamkan oleh polis bahawa kes itu melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan dan telah menarik perhatian umum.

Mengenai keadaan mayat Kevin Morais ketika dikeluarkan dari karung guni, beliau berkata tahu jasad mangsa berpakaian lengkap tanpa kasut dalam keadaan mereput.

"Posisi mayat adalah seperti 'fetal like position' yang mana bahagian sendi lutut membengkok dan sendi pinggul juga membengkok. Bahagian 'upper limbs' diikat dengan satu tali leher dengan ikatan longgar dan diletakkan pada bahagian belakang tubuh si mati.

"Jasad mayat adalah dalam keadaan pereputan sederhana dengan permukaan kulit yang telah mengelupas akibat pembusukan," katanya.
Perbicaraan bersambung esok.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Kevin Morais , HKL , Dr Nurliza Abdullah

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan