Mahkamah Rayuan Kekal Hukuman Bekas Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Negeri Sembilan

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2016 5:52 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman penjara 15 bulan dan denda RM200,000 ke atas bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan kerana memberi suapan kepada pemain-pemainnya untuk mengatur keputusan perlawanan pada April 2011.

Panel tiga orang hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dengan sebulat suara menolak rayuan akhir Yusarman Yusof dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Seremban yang menjatuhi hukuman penjara dan denda selepas didapati bersalah atas 20 pertuduhan memberi suapan antara RM300 dan RM2,000 kepada 11 pemain.

Pada 28 Jun, 2012, Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM10,000 bagi setiap 20 pertuduhan ke atasnya tetapi hakim memerintahkan supaya hukuman penjara berjalan serentak.

Yusarman, 40, memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan selepas gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi Seremban yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Sept, 2014.

Dalam keputusannya, Hakim Tengku Maimun berkata keterangan yang diberikan oleh pemain-pemain sudah cukup untuk membuktikan tuduhan terhadap Yusarman dan tidak perlu memanggil pemain dari pasukan lain, Pulau Pinang SDM Navy, untuk memberi keterangan di mahkamah.

Hakim juga berkata kegagalan mendapatkan rakaman CCTV di pusat karaoke tidak memudaratkan kes pendakwaan terhadap Yusarman.

Mahkamah Rayuan turut disidangi oleh Hakim Datuk Ahmad Asnawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Yusarman dituduh bersama dua lelaki yang masih bebas memberi rasuah kepada para pemain sebagai dorongan untuk membantu dan memberi peluang kepada pasukan Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol dalam perlawanan di Stadium di Pulau Pinang pada 21 April, 2011. 

Dia melakukan kesalahan itu dengan memberi suapan antara RM300 dan RM2,000 setiap seorang di sebuah pusat karaoke di Pusat Komersial Cempaka di Taman Cempaka, Senawang antara 19 April dan 22 April 2011.

Pemain-pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid and Mohd Hafiz Mohd Nor.

Terdahulu, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Yusarman merayu kepada mahkamah supaya membebas dan melepaskan anak guamnya kerana menurut beliau, pihak pendakwaan tidak memanggil para pemain dari Pulau Pinang SDM Navy untuk memberi keterangan dan juga kegagalan pihak pendakwaan mendapatkan rakaman CCTV.

Bagaimanapun, beliau berkata jika mahkamah memutuskan untuk mengekalkan sabitan ke atas anak guamnya, beliau meminta mahkamah menjatuhi hukuman penjara yang ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal berhujah bahawa keterangan daripada saksi-saksi menunjukkan bahawa Yusarman dan dua orang lagi yang masih bebas mempunyai niat bersama untuk memberi suapan kepada pemain-pemain.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan