Terlepas Hukuman Gantung, Wanita Vietnam Dipenjara 20 Tahun

Diterbitkan: Isnin, 28 Mac 2016 6:24 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang wanita Vietnam mengalirkan air mata gembira di mahkamah pada Isnin kerana terlepas daripada hukuman gantung bagi tuduhan mengedar 2.1kg methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 2011.

Nguyen Thanh Ngoc Tuyet, 28, yang memakai pakaian penjara berwarna merah dan putih, kelihatan menangis ketika duduk di kandang apabila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan mengetepikan sabitan kesalahannya kerana mengedar dadah.

Bagaimanapun, ibu kepada seorang anak itu, perlu merengkok di dalam penjara selama 20 tahun apabila panel lima anggota Mahkamah persekutuan, yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, mensabitkan kesalahannya kerana memiliki dadah.

Beliau memutuskan bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan, mahkamah berpuas hati Nguyen Thanh adalah pembawa sebuah beg yang tersembunyi di dalamnya methamphetamine.

Pada 18 Julai 2012, Mahkamah Tinggi George Towan mendapati Nguyen Thanh bersalah kerana mengedar dadah di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas pada 10.10 pagi 26 Jun 2011 dan dijatuhi hukuman mati.

Wanita berkenaan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 20 Mac tahun lepas untuk mengetepikan sabitan kesalahannya dan hukuman mati, walaupun dalam keterangan mereka, dua pegawai polis Vietnam berkata mereka merekodkan kenyataan seorang wanita bernama Tran Tranh Tam, yang menyatakan dia tidak memberitahu Nguyen Thanh bahawa barang yang dibawanya ialah dadah, tetapi memberitahunya ia adalah pakaian.

Mahkamah Rayuan membenarkan Nguyen Thanh memberi keterangan baharu dalam bentuk kenyataan dua pegawai polis tersebut serta keterangan lisan tiga saksi rakyat Vietnam, termasuk Tran Tranh.

Bagaimanapun, Tran Thanh, yang sedang menjalani hukuman lapan tahun penjara di Vietnam kerana menjual dadah, memilih untuk tidak datang ke Malaysia bagi memberi keterangan.

Ketika membela dirinya, Nguyen Thanh mendakwa dia mengambil beg berkenaan (yang mengandungi dadah) kepunyaan kawannya, Tran Tranh, tanpa mengetahui ia mengandungi dadah.

Ketika merayu agar hukuman diringankan, peguam yang mewakilinya, K. Simon Murali berkata Nguyen Thanh menjadi mangsa perbuatan manipulasi seorang kawannya dan teman lelakinya yang berbangsa Afrika supaya menjadi keldai dadah.

Peguam itu berkata kliennya belum berkesempatan melihat anaknya, yang baru berusia sebulan ketika dia (Nguyen Thanh) ditangkap pada 2011.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan