Pemandu Trak Tunda Viralkan Komen Jelik Didenda

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2016 4:05 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pemandu trak tunda didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghantar komen jelik terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook miliknya pada Disember lepas.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Annuar Saberi, 30, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa secara sedar menghantar komen jelik terhadap pasukan keselamatan itu di laman Facebooknya dengan niat untuk menyakitkan hati, di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, kira-kira 8.04 malam, 29 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan tiga orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan denda yang tinggi atas alasan tindakan tertuduh telah mencemarkan nama baik PDRM sebagai badan berintegriti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan