Curi Telefon Bimbit Di Low Yat: Shahrul Anuar Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2016 3:45 PM

- Gambar fail

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret pada Jumaat memerintahkan penganggur Shahrul Anuar Abdul Aziz membela diri terhadap pertuduhan mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Julai tahun lepas.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Shahrul Anuar, 23, di akhir kes.

"Setelah meneliti dan menilai eksibit serta dokumen yang dikemukakan, mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh.

"Dengan ini tertuduh diperintah membela diri atas pertuduhan yang dihadapinya," kata Nur'Aminahtul Mardiah.

Mahkamah menetapkan tiga hari bermula 12 April ini untuk mendengar tertuduh membela diri.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan dan hujahan pendakwaan dan pembelaan.

Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang pada 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain kes curi telefon bimbit, pada 12 Februari lepas Shahrul Anuar didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan mengambil syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pada 24 Februari lepas, tertuduh sekali lagi dihadapkan ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang mekanik menggunakan parang di Jalan Jelatek di sini, pada 20 Februari lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala Shahrul Anuar diwakili peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Mohammad Yahya Zakaria dan Ihsan Busyro Zakaria.
Tags / Kata Kunci: curi telefon bimbit , kes Low Yat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan