Cabul Wanita Di Pasar, Penjual Besi Buruk Dipenjara

Diterbitkan: Khamis, 17 Mac 2016 7:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Padah mencabul seorang wanita yang sedang membeli sayur di pasar pagi, seorang penjual besi buruk dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Jesseca Daimis turut memerintahkan tertuduh Asmari Ampiau, 34, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkap pada 14 Mac lepas dan perlu menjalani hukuman penjara lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan meramas punggung seorang penolong profesor sebuah kolej swasta berusia 38 tahun itu dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di pasar pagi Alam Damai, Cheras di sini pada 8.30 pagi, 11 Januari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Jesseca turut menasihati tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu kerana  mahkamah memandang serius kes cabul yang merupakan satu kesalahan serius.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan