Dua Kontraktor Hadapi Tuduhan Terima, Subahat Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 9 Mac 2016 3:51 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dua kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima dan bersubahat terhadap suapan yang kesemuanya berjumlah RM135,000 bagi mendapatkan kuota beras ST15 pada Mei, Jun dan Julai 2014 lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Nor Azamuddin Ahmad, 47, dan Farid Idris Khan, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, Nor Azamuddin pada 4 Mei 2014, pada pukul 10 malam di alamat No 69, Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi Tech Park, Kulim didakwa secara rasuah menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM45,000 daripada seorang lelaki bergelar Datuk yang merupakan pemilik syarikat DCT Bakery Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan terhadap tertuduh bagi mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik bagi perniagaan MNS Utara Enterprise dan perniagaan MFM Utara Enterprise bagi bulan Mei 2014 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Untuk pertuduhan kedua, Nor Azamuddin pada 6 Jun 2014, pada masa dan tempat yang sama didakwa secara rasuah menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM45,000 daripada lelaki yang sama sebagai dorongan mendapatkan kuota beras sebanyak 100 tan metrik bagi bulan Jun.

Bagi pertuduhan ketiga, Nor Azamuddin pada 2 Julai 2014, pada masa dan tempat yang sama juga didakwa menerima secara rasuah wang tunai berjumlah RM45,000 daripada lelaki yang sama sebagai upah mendapatkan kuota beras sebanyak 100 tan metrik bagi Julai 2014.

Untuk setiap pertuduhan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Tertuduh kedua, Farid pula turut didakwa atas tiga pertuduhan yang sama kerana bersubahat dengan tertuduh pertama menerima kesemua suapan berkenaan.

Untuk setiap pertuduhan bersubahat itu, Farid telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta berkenaan iaitu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua-dua tertuduh itu dikenakan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A.Hafiizh Abu Bakar daripada SPRM.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: ST15 , SPRM , Techno City Golf View

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan