Keluarga 44 Penumpang MH370 Saman MAS

Diterbitkan: Selasa, 8 Mac 2016 7:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keluarga 44 penumpang Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap MAS, Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Allianz Global Corporate and Speciality bagi kerosakan yang dialami daripada tragedi MH370.

Tuntutan mengenai kecuaian dan melanggar kontrak di pihak MAS berhubung Penerbangan MH370 difailkan pada 4 Mac oleh waris 44 penumpang berkenaan, yang terdiri daripada 42 warga China dan dua warga Amerika Syarikat.

"Keluarga berkenaan menuntut ganti rugi kerana kehilangan nyawa orang tersayang dan kecederaan psikiatri traumatik, kejutan saraf serta stres pasca trauma yang dialami keluarga," kata peguam Messrs Thomas Philip, yang mewakili keluarga berkenaan dalam kenyataan di sini Selasa.

Menurut kenyataan itu, Messrs Thomas Philip bekerjasama dengan Motley Rice LLC, yang memiliki kepakaran dalam menyiasat, membuat litigasi dan menyelesaikan kes nahas pesawat terhadap syarikat penerbangan, pengeluar, kontraktor penyelenggaraan, lapangan terbang, kawalan trafik udara dan entiti kerajaan.

Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal diisytihar hilang setelah hilang daripada radar pada 8 Mac 2014.

Laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan