Bekas Pegawai Khas MB Selangor Dipenjara Kerana Menipu

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mac 2016 4:24 PM

Mohd Yahya Mat Sahri. Foto: MOHD SAHAR MISNI/The Star

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mohd Yahya Mat Sahri, bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, perlu menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan rotan selepas dia gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu. 

Panel tiga anggota Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menolak rayuan Mohd Yahya berkaitan sabitan kesalahan terhadapnya, hukuman penjara dan sebatan bagi pertuduhan pertama menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd Abdul Karim Munisar.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Abdul Karim dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa sekretariat Pakatan Rakyat sedang mencari penaja bagi sambutan 100 hari pakatan pembangkang itu memerintah dan dengan curangnya mendorong beliau untuk memberi kepadanya RM50,000 sebagai sumbangan, di Gardenia Coffee House Hotel Quality di Shah Alam pada 4 Jun 2008.

Bagaimanapun, panel itu menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Mohd Yahya atas pertuduhan kedua menggunakan dokumen palsu iaitu 'ResolusiPembukaan Akaun bagi Parti Keadilan Rakyat Selangor", sebagai tulen di sebuahbank di Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Keputusan sebulat suara panel hakim itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Rahman Sebli. Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Harmindar Singh Dhaliwal.

Dalam keputusannya, Abdul Rahman berkata Mahkamah Tinggi adalah betul dalam keputusannya bahawa elemen penipuan telah diwujudkan dan ia (Mahkamah Tinggi) bertindak betul dalam keputusannya bahawa Mohd Yahya bersalah bagi pertuduhan pertama. 

Beliau berkata Mohd Yahya tahu bahawa sambutan itu ditaja oleh kerajaan negeri Selangor dan bukan oleh Parti Keadilan Rakyat dan dia menyembunyikan maklumat itu daripada Abdul Karim.

Hakim Abdul Aziz memerintahkan Mohd Yahya supaya memulakan hukuman penjaranya pada Jumaat.

Mohd Yahya diikat jamin RM15,000 sementara menunggu rayuannya itu diselesaikan.

Di dalam kandang tertuduh, Mohd Yahya, 47, yang memakai sut hitam, kelihatan terkejut selepas mendengar keputusan mahkamah.

Pada 27 Jun 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskannya daripada pertuduhan pertama dan mensabit kesalahan serta menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan rotan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Okt 2013 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu.

Mohd Yahya diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan Aida Adhha Abd Bakar mewakili pendakwaan. 

Tags / Kata Kunci: Mohd Yahya Mat Sahri , Pegawai Khas , Menipu

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan