Ahli Perniagaan Didakwa Pecah Amanah Saham Bernilai Lebih RM1 Juta

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2016 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah melibatkan saham bernilai lebih RM1 juta milik sebuah syarikat hartanah, 10 tahun lepas.

Chin Choong Hoong @ Philip Chin, 47, didakwa bersama adik lelakinya yang masih bebas, Chin Choong Kit @ Joseph Chin, 36, sebagai orang yang diamanahkan dengan arahan melalui perjanjian pemegang saham dalam Syarikat Nothern Star Hill Sdn Bhd bagi pihak Jerard Co Ltd dan Jerard Northern Star Hill Ltd, telah melakukan pecah amanah melibatkan saham-saham bernilai RM1.22 juta.

Bapa dua anak itu didakwa telah memindahkan saham-saham itu kepada pihak ketiga, dan perbuatan itu bertentangan dengan arahan perjanjian itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No. 45A, Tingkat 1, Jalan SS2/75 di sini pada 16 November 2006 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan pertuduhan di bawah seksyen itu tidak membenarkan sebarang jaminan dan meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam John Chan yang mewakili Chin memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua orang anaknya berusia 16 dan 18 tahun selain tidak ada sebab untuk tertuduh melarikan diri.

Hakim Azwarnida Affandi membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pecah amanah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan