Operator Kren Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian Pemandu Van

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2016 3:38 PM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Seorang operator kren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada rabu atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pemandu van sekolah yang dikatakan gagal mengambil anak saudaranya pulang dari sekolah agama, awal bulan ini.

Mohd Fifi Md Yousoff, 29, dari Telok Gadong Kecil di sini, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Tertuduh yang memakai kameja-T merah dan berseluar jeans didakwa menyebabkan kematian Mohammad Izhharuddin Nordin, 24, di Jalan Sungai Udang di sini, kira-kira 6.40 petang, pada 3 Feb lepas.

Mohd Fifi yang ditangkap pada hari kejadian didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin yang mengendalikan pendakwaan membantah ikat jamin ke atas tertuduh atas alasan pertuduhan terhadapnya tidak boleh diikat jamin dan kesalahan yang dilakukannya serius.

Peguam Rasshidi Syed yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh perlu menyara isteri, ibu dan keluarga mertuanya.

"Walaupun kes ini mendapat perhatian umum, pohon mahkamah memberi pertimbangan sewajarnya supaya tertuduh boleh diikat jamin pada kadar munasabah," katanya.

Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut mengenakan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh harus melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan Mohammad Izhharuddin yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 20 Feb, maut ditumbuk seorang lelaki selepas dia dikatakan gagal mengambil anak saudara suspek dari sekolah agama di Jalan Hasan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa mengambil beberapa pelajar dari sekolah agama berkenaan dan dikatakan telah meninggalkan anak saudara suspek kerana menyangka pelajar itu balik ke rumah lebih awal.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dan menahan van itu, lalu berlaku pertengkaran dan menumbuk Izhharuddin yang duduk di bahagian pemandu.

Tags / Kata Kunci: Kren , Van , Klang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan