Dua Lelaki Indonesia Mengaku Tak Bersalah Jual Batu Delima Palsu

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 2:16 PM

Dua tukang rumah warga Indonesia, Salim, 36, (depan) dan Ajiswar, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Khamis, atas pertuduhan menipu 15 individu dengan menjual batu delima palsu yang melibatkan kerugian bernilai RM291,900. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi di sekitar Kluang dan Simpang Renggam antara 2012 hingga awal tahun ini.

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Dua lelaki rakyat Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu 15 individu dengan menjual batu delima palsu yang melibatkan keseluruhan kerugian bernilai RM291,900 antara 2012 dan awal tahun ini.

Salim, 36, dan Ajiswar, 44, bersama-sama dituduh memperdaya kesemua individu itu dengan menawarkan sebiji batu delima tulen sedangkan diketahui batu delima ditawarkan itu adalah palsu sehingga mendorong mangsa mempercayai dan menyerahkan wang antara RM400 hingga RM75,000.

Kedua-dua mereka yang berasal dari Tanjung Pinang, Indonesia, dan merupakan tukang rumah, didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di sekitar kawasan bandar ini dan Simpang Renggam, di sini, antara November 2012 dan 18 Januari tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan kedua-duanya yang memiliki pasport sah, diikat jamin.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merupakan orang dikehendaki polis sejak 2012.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Indonesia , batu delima , Tanjung Pinang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan