Peguam Negara Akan Kemuka Bantahan Terhadap Permohonan Khairuddin - Berita Mahkamah | mStar

Peguam Negara Akan Kemuka Bantahan Terhadap Permohonan Khairuddin

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 7:18 PM

Mohamed Apandi Ali

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu adalah bagi mencabar keputusan Mohamed Apandi yang memutuskan bahawa tiada apa-apa kesalahan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM2.6 bilion, penyalahgunaan kuasa dan kertas siasatan SRC International.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Mohamed Apandi selaku responden kepada pemberita selepas kes disebut dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Hasniah Ab Razak hari ini dengan dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin selaku pemohon.

Shamsul berkata pihaknya akan memfailkan bantahan itu pada 3 Mac ini.

Sementara itu, Mohamed Haniff berkata mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk mendengar permohonan Khairuddin bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing pada 3 Mac ini.

Pada 3 Februari lepas, Khairuddin memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan yang dibuat Mohamed Apandi pada 26 Jan lepas yang memutuskan bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan Najib berhubung tiga kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan