Bekas Pengarah Syarikat Protasco Didakwa Tipu Hampir RM85 Juta - Berita Mahkamah | mStar

Bekas Pengarah Syarikat Protasco Didakwa Tipu Hampir RM85 Juta

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2016 4:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah Syarikat Protasco Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, pada Rabu atas pertuduhan menipu ahli lembaga pengarah, membuat perakuan palsu dan pecah amanah membabitkan wang hampir RM85 juta.

Datuk Ooi Kock Aun, 49, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suraiya Mustafa Kamal.  

Suraiya membenarkan Ooi diikat jamin RM1 juta bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 26 Februari untuk sebutan semula kes.

Ooi didakwa menipu ahli lembaga pengarah dan pegawai syarikat Protasco Bhd, iaitu dengan sengaja menyembunyikan maklumat bahawa tertuduh mempunyai perkaita nterus dengan sebuah syarikat yang diperbadankan di Indonesia iaitu PT Anglo Slavic Utama. 

Ini mendorong mangsa memasuki satu perjanjian pelaburan dalam perniagaan minyak dan gas di Indonesia melalui pembelian 63 peratus saham syarikat PT Anglo Slavic Indonesia yang bernilai AS$22 juta (RM68,393,170) dengan PT Anglo SlavicUtama.

Pembayaran pembelian saham tersebut dibuat secara berperingkat ke dalam dua akaun CIMB PT ASU, yang mana mangsa tidak akan memasuki perjanjian pelaburan tersebut dan membuat pembayaran pembelian saham jika mereka tidak diperdayakan tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Protasco Bhd, Tingkat 2, Corporate Building Unipark Suria, Jalan Ikram-Uniten, Kajang, di sini antara November 2012 hingga 30 Januari 2014 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa membuat perakuan palsu kepada Pesuruhjaya Sumpah bahawa dia tidak mempunyai kaitan dengan syarikat PT Anglo Slavic Utama, mana-mana pengarah dan pemegang sahamnya, sedangkan pada masa dia membuat perakuan tersebut tertuduh mengetahui dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Wern Li Morsingh, Fraser Business Park, 50-3A, Jalan Metro Pudu, Off Jalan Yew di sini pada 25 Julai 2014 mengikut Seksyen 181 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh juga dikenakan denda. 

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pecah amanah harta syarikat PTAnglo Slavic Indonesia sebanyak RM16,250,000 di CIMB Islamic Bank Berhad, Menara Southern Bank, No 83 Medan Setia 1, Plaza Damansara, Bukit Damansara, di sini pada 4 Feb 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Nurshuhaida Zainal Azahar menawarkan wang jaminan RM1 juta bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan bagi menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Pihak pendakwaan memohon dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang menganggu semua saksi pendakwaan. Ini mengambil kira beberapa faktor antaranya tertuduh sering ke luar negara, mempunyai perniagaan di Hong Kong dan Indonesia dan kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan kerugian yang sangat besar," katanya.

Beliau berkata tertuduh juga dilarang menganggu saksi pendakwaan berikutan terdapat aduan daripada salah seorang saksi pendakwaan yang mendakwa tertuduh pernah beberapa kali cuba berjumpanya dan cuba memesongkan keterangan saksi.

Peguam Edmund Bon Tai Soon yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang munasabah dengan mengambil kira tertuduh tidak ada kebarangkalian untuk melarikan diri dan telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan. 

"Tertuduh juga mempunyai keluarga, isteri, empat orang anak dan ibu bapa yang semuanya menetap di Malaysia selain dia merupakan seorang individu yang terkenal dan dihormati dalam bidang perakaunan," hujahnya. -Bernama

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan