Bauksit: Dua Kakitangan PTG Dihadapkan Ke Mahkamah

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2016 12:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Dua kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan menerima wang tunai RM30,000 daripada seorang pelombong haram bauksit, Rabu lalu.

Fadly Ab Malek, 35, yang merupakan Penolong Pegawai Tanah, dan Syed Umar Khalil Syed Khalid, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof semasa pertuduhan dibaca secara berasingan.

Fadly didakwa menerima suapan itu antara pukul 12.20 hingga 12.40 tengah hari, 6 Januari lalu di dalam kereta Toyota Fortuner nombor pendaftaran WNK3968 di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini.

Syed Umar Khalil, yang juga merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu pada pukul 7.35 malam pada hari dan di tempat yang sama.

Suapan itu didakwa diterima daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, sebagai balasan untuk tertuduh memberi perlindungan kepadanya yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram di Bukit Goh di sini.

Fadly, yang juga Penolong Pegawai Penguat Kuasa, turut menghadapi satu lagi tuduhan menerima wang tunai RM35,000 daripada Anurul Hiraq, antara pukul 4 hingga 4.30 petang, 18 November lalu di dalam kereta sama di sebelah Restoran Santai, Jalan Teluk Baharu 5, Kampung Baru Peramu, di sini.

Suapan itu didakwa untuk memberi perlindungan kepada Anurul Hiraq dengan cara menjual borang pemindahan mineral Borang 13D (sub peraturan 84(4)) di bawah Peraturan-Peraturan Mineral 2005 atas nama Syarikat Aras Kuasa Sdn Bhd.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syafinas Shabudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim yang mewakili Fadly merayu jaminan RM20,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan keluarga tertuduh hanya dapat menyediakan RM5,000.

"Tertuduh memperoleh pendapatan RM2,600 sebulan dan menanggung tiga orang anak termasuk dua yang bersekolah dan ibu bapa yang berusia dalam lingkungan 60 tahun," katanya.

Syed Umar Khalil pula menerusi peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memohon jaminan rendah diberi atas alasan kebarangkaliannya untuk melarikan diri adalah tidak berlaku kerana anak guamnya masih berkhidmat di pejabat PTG.

"Tertuduh memperoleh pendapatan sebanyak RM5,300 sebulan dan menanggung seorang isteri dan anak. Jumlah yang boleh disediakan tertuduh hanya RM3,000," katanya.

Habibah membenarkan jaminan RM10,000 ke atas kedua-dua tertuduh dan kes akan disebut semula pada 5 Feb ini.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Pekan, Pahang membayar jaminan itu.

Tags / Kata Kunci: bauksit , lombong haram , rasuah

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan