Tiga NGO Gagal Halang Kerajaan Meterai TPPA

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2016 3:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) gagal dalam usaha mereka menghalang kerajaan daripada menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipa Farikullah menolak permohonan tiga Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas Malaysia) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (Teras) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung TPPA.

Beliau membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan ketiga-tiga NGO itu, dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Shamsul mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta kerajaan Malaysia manakala Mohamed Haniff bertindak bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Abim diwakili presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim manakala Unggas MMalaysia diwakili presidennya Nurfitri Amir Muhammad dan Teras oleh naib presidennya Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Mohamed Haniff ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonan anak guamnya atas alasan perjanjian TPPA berkenaan masih belum ditandatangani dan perkara itu tidak boleh dihakimi.

"Hakim dalam keputusan lisannya berpendapat memandangkan perjanjian itu belum ditandatangani, maka mahkamah menolak permohonan ketiga-tiga pemohon (NGO) untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman itu," katanya.

Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos, katanya.

Peguam itu berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Tiga wakil NGO itu yang memfailkan permohonan pada 4 Nov tahun lepas, memohon mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap ketiga-tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan oleh mahkamah.

NGO berkenaan turut memohon deklarasi bahawa menandatangani TPPA adalah tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menggugat kedaulatan negara.

Selain Malaysia, negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: TPPA , Abim , Teras , Unggas Malaysia , Hanipa Farikullah

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan