Kes Penolong Pegawai Perubatan Bunuh Kerani Disebut Semula 4 Februari

Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2016 1:56 PM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan semula kes seorang penolong pegawai perubatan yang menghadapi pertuduhan membunuh kerani sebuah sekolah agama di Bukit Pasir, di sini November lalu.

Majistret Mohd Syafiq Mustaza menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shaarmini Arjunan kerana masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital walaupun telah menerima laporan kimia.

Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili tertuduh Zurailie Muhamaddu, 30, tidak membantah permohonan itu.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada 3 Disember tahun lepas dan hari ini (Selasa) ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Zurailie dituduh membunuh Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, yang juga jirannya di Nombor 85, Taman Setia Kasih, Jalan Sungai Terap, Bukit Pasir di sini antara 2.05 petang dan 2.30 petang, 16 November tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan