Dr Ling Fail Saman Balas Terhadap Najib - Berita Mahkamah | mStar

Dr Ling Fail Saman Balas Terhadap Najib

Diterbitkan: Isnin, 14 Disember 2015 8:49 PM

Dr Ling Liong Sik.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas menteri Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik memfailkan saman balas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Ling berkata Najib tidak meneruskan sebarang saman fitnah terhadap individu lain termasuk pemimpin Umno yang berulang kali mengkritik tingkah laku dan integiriti beliau.

Dalam dokumen mahkamah, Dr Ling berkata beliau mengalami kerugian dan menuntut ganti rugi, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam utama beliau, Ranjit Singh berkata saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengesahkan bahawa mereka menerima satu salinan pernyataan pembelaan dengan saman balas pada hari yang sama.

Perdana Menteri memfailkan saman terhadap Dr Ling di atas kenyataan  yang membayangkan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).

Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Dr Ling bergantung kepada pernyataan pembelaan saksama dan perlindungan bersyarat atas kenyataan beliau.

Beliau menafikan menjejaskan reputasi Najib.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan