Maklumat Perbankan Adalah Sulit - Mohamad Salleh

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2015 10:05 PM

Mohamad Salleh Ismail.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa Mohd Rafizi Ramli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) 'menyerang' beliau dan syarikatnya kerana beliau adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mohamad Salleh, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd.,(NFCorp), berkata beliau percaya ia dilakukan disebabkan oleh Pilihan Raya Umum ke-13 dan bahawa Mohd Rafizi berniat jahat dalam pendekatannya untuk mendedahkan maklumat perbankan kepada orang ramai.

"Isu berhubung dengan niat jahatnya jelas terbukti berdasarkan fakta bahawa beliau langsung tidak mengambil inisiatif untuk menyemak dan mengesahkan kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Saya percaya bahawa Mohd Rafizi bertindak secara tidak bertanggungjawab dalam perkara ini dan saya menyatakan bahawa beliau berniat jahat dan menyimpan dendam dan segala tindakannya adalah bermotifkan politik dan jelas berniat jahat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di kandang saksi pada hari pertama perbicaraan kes terhadap Mohd Rafizi dan Malaysiakini berkaitan pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Menurut beliau, secara peribadi, ini menjadi titik paling trauma dalam  kehidupan beliau dan keluarganya.

Sementara itu, Mohamad Salleh berkata beliau dan NFCorp tidak membuat apa-apa pinjaman daripada Public Bank Berhad bagi lapan hartanah KL Eco City dan pihak bank mengesahkannya melalui surat bertarikh 4 Januari 2012, bahawa mereka telah menarik balik tawaran untuk membiayai hartanah tersebut.

Beliau berkata lapan Perjanjian Jual-Beli dengan pemaju ditandatangani pada 5 Disember 2011.

"Justeru, dakwaan Mohd Rafizi bahawa saya gagal membyar balik pinjaman bagi lapan hartanah KL Eco City mengikut jadual dari Mac 2011, adalah bohong sama sekali," kata beliau ketika disoal oleh peguamnya Datuk M. David Morais.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jun 2013, Mohamad Salleh, 67, dan NFCorp, mendakwa bahawa pada 7 Mac 2012, Mohd Rafizi, selaku pengarah strategi PKR ketika itu, membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah itu dan disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.

Beliau berkata saman difailkan kerana kerugian yang dialami akibat pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat perbankan yang sulit dan kenyataan fitnah yang dibuat oleh defendan.

Mohamad Salleh memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan memperdayakan orang ramai mengenai isu itu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung pada Khamis ini. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: NFCorp , Mohamad Salleh Ismail , Rafizi Ramli

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan