Bekas Setiausaha Agung PSM Didakwa Menghasut

Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 7:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan didakwa di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lepas.

Arutchelvan, 48, yang kini memegang jawatan anggota Jawatankuasa Pusat PSM mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Tertuduh didakwa menerbitkan satu penerbitan yang menghasut di laman sosial Facebook berhubung kenyataan akhbar beliau terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat II Anwar di Pejabat Bahagian Siasatan Perundangan D5, Ibu Pejabat Kontinjen di sini pada 12 tengah hari 12 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Arutchelvan turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan yang bersifat jelik di laman sosial Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, waktu dan hari sama mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam New Sin Yew yang mewakili Arutchelvan, memohon mahkamah memberikan bon jaminan peribadi atas alasan anak guamnya yang dikenali masyarakat tidak mungkin melarikan diri, selain memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Tags / Kata Kunci: S. Arutchelvan , PSM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan