Dua Lelaki Bangladesh Mengaku Tidak Bersalah Rasuah Imigresen RM10,000

Diterbitkan: Khamis, 12 November 2015 2:36 PM

Dua warga Bangladesh Md Mosher Rohoman (dua, kiri) dan Md Liton (dua, kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Khamis atas tuduhan memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah pada 8 November lepas.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dua buruh kontrak warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan berasingan merasuah pegawai Imigresen dan bersubahat membantu melakukan kesalahan rasuah, Ahad lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Md Mosher Rahoman, 37, didakwa telah secara rasuah memberikan suatu suapan wang tunai RM10,000 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia, Yusrazif Wan Yusoh yang bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah.

Rasuah itu diberikan sebagai dorongan kepada Yusrazif bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu supaya tidak mengambil tindakan ke atas beberapa orang warganegara Bangladesh yang ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dalam pertuduhan berasingan, Md Liton, 36, dituduh membantu Mosher melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu memberikan rasuah kepada Yusrazif.

Sehubungan itu, Md Liton telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Nov, pukul 9.15 malam di tapak pembinaan ladang ayam, Lubok Getah, Pendang.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu dan minta dibicara.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang memandangkan kesalahan tersebut adalah serius, ditambah faktor kedua-dua tertuduh adalah warga asing.

Peguambela kepada Md Mosher, Dr Dharmendra Kumar bagaimanapun meminta jaminan dikurangkan kepada RM10,000 memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua anak, serta seorang ibu yang sakit di Bangladesh.

Manakala peguambela kepada Md Liton, Siti Hajar Abdullah turut meminta jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana tertuduh hanya bekerja dengan gaji RM50 sehari, serta perlu menanggung tiga anaknya di negara asal.

Hakim Zainol Rashid Hussain kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi setiap tertuduh serta passport mereka diserahkan kepada mahkamah. Sebutan kedua-dua kes ditetapkan pada 13 Disember ini. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Imigresen , Md Mosher Rahoman , rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan