Amuk: Muhdalena Hadiahkan Selimut Kepada Peguam

Diterbitkan: Jumaat, 16 Oktober 2015 12:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalena Ahmad yang dilepaskan daripada tuduhan ugutan jenayah dan memiliki senjata dalam kejadian amuk di Putrajaya tiga tahun lepas, menghadiahkan sehelai selimut dengan tulisan yang dijahit sendiri kepada peguamnya M. Visvanathan.

Selimut dengan tulisan "Love has fell down from the sky  and  enters pure hearts. May the 'light' of humanity shines in us!" diserahkan kepada Visvanathan pada pengurusan kesnya di Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat.

Visvanathan ketika ditemui pemberita memberitahu anak guamnya menyiapkan selimut itu ketika dia berada di Hospital Permai Tampoi, Johor dan berterima kasih dengan pemberian tersebut.

Mengenai prosiding hari ini, Visvanathan berkata Timbalan Pendaftar Noor Aini Yusof menetapkan 29 Okt ini untuk keputusan rayuan itu berikutan Hakim Kamardin Hashim menghadiri satu kursus.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Muhdalena, 31, daripada tuduhan ugutan jenayah dan memiliki senjata dalam kejadian amuk bersama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai oleh Mahkamah Sesyen, tahun lepas.

Pada 19 Jun tahun lepas, Mahkamah Seksyen Putrajaya melepaskan Muhdalena daripada empat pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya dalam kejadian amuk itu.

Mahkamah Sesyen mendapati wanita itu mengalami ketidaksempurnaan akal semasa kejadian dan memerintahkannya ditahan di Hospital Permai Tampoi, Johor sementara menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Empat pertuduhan itu adalah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Koperal Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan, tanpa kebenaran.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Muhdalena Ahmad , UIAM , Mahkamah Tinggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan