Cubaan Transgender Untuk Semakan Kehakiman Tidak Sesuai - Mahkamah Persekutuan

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 5:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini, Khamis.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif berkata ia kerana tiga transgender telah menggunakan prosedur perundangan yang salah untuk memulakan tindakan mereka.

Justeru, mahkamah memutuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga pak andam itu, Muhamad Juzaili Mohd. Khamis, 28, Shukor Jani, 29, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, selaku responden, untuk mencabar keesahan Seksyen 66 enakmen tersebut tidak sesuai kerana gagal mematuhi kaedah prosedur.

Mengikut Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, lelaki berlagak seperti perempuan dan memakai pakaian perempuan di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan, atau kedua-dua sekali.

Md Raus berkata transgender tersebut seharus memohon kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan untuk memulakan petisyen kerana mereka mencabar kuasa perundangan badan perundangan negeri yang mengubbal undang-undang syariah dan bukan cara melalui semakan kehakiman.

Berikutan keputusan itu, Seksyen 66 enakmen tersebut adalah berperlembagaan dan sah.

Dalam penghakiman 23 muka surat itu, Md Raus berkata keesahan atau keperlembagaan undang-undang itu tidak boleh dipersoalkan dengan cara prosiding semakan kehakiman di hadapan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata tindakan mencabar seperti itu hanya boleh dilakukan menerusi prosedur tertentu di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan di mana transgender tersebut gagal melakukannya.

"Hakim yang arif di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi telah melakukan kesilapan besar dalam melayan permohonan pihak responden (transgender) untuk mempersoalkan keesahan atau keperlembagaan Seksyen 66 dengan cara semakan kehakiman.

"Bidang kuasa mahkamah bawahan ini tidak dirampas untuk berbuat demikian.
Adalah perkara biasa untuk mana-mana prosiding didengar tanpa bidang kuasa adalah tak sah ab initio," katanya.

Katanya permohonan trio itu untuk pengisytiharan sepatutnya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Md Raus berkata penghakiman majoriti dalam kes Gereja Roman Katolik menentang Kementerian Dalam Negeri yang meletakkan prosedur dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan hendaklah diikuti apabila persoalan keesahan atau keperlembagaan undang-undang yang sepatutnya melalui prosedur tertentu dan bukan dengan cara serangan kolateral dalam prosiding semakan kehakiman.

Menurutnya trio tersebut telah mencabar keesahan dan keperlembagaan Seksyen 66.

Mahkamah itu sebulat suara membenarkan bantahan awal kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki berpakaian wanita tidak melanggar perlembagaan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan turut dianggotai hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Pada 7 Nov 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan transgender itu dan memutuskan Seksyen 66 adalah tidak sah selepas Mahkamah Tinggi Seremban pada 11 Okt 2012 menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang itu yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita.
Tags / Kata Kunci: transgender , Tan Sri Md Raus Sharif

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan