Pemilik Kedai Runcit Dipenjara, Denda Miliki Rokok Seludup

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang pemilik premis perniagaan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM9,446.40 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup.

Majistret Haslinda A Raof turut memerintahkan Abdul Rashid K E Shaikh Dawood, 60, dipenjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Abdul Rashid didakwa memiliki sebanyak 314 paket rokok putih dan keretek  yang dilarang import kesemuanya bernilai RM472.32 yang disembunyikan di bawah rak barang di dalam kedai runcit miliknya di Gunung Rapat di sini, pada 10.30 pagi, 29 September lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM9,446.40 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam Harbajan Singh.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang pemilik kedai Deli Depot di Taman Cempaka di sini, dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 selepas mengaku bersalah memiliki 1,000 batang rokok putih seludup bernilai RM50.

Majistret Suhaima Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Fui Mui, 33, yang didakwa melakukan kesalahan itu selepas penguatkuasa Kastam menemui rokok di bahagian belakang kaunter kedai berkenaan pada 7.45 malam, 12 April 2013.

Fui Mui diwakili peguam Chiang Mei sementara kedua-dua pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nur Izyani Ismail.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: rokok seludup , Gunung Rapat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan