Seksyen 9(5) PAA 2012 Sah Dan Berperlembagaan - Putus Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2015 8:04 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis memutuskan penganjur yang gagal memberikan notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan kini boleh didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif berpendapat bahawa Seksyen 9(5) PAA adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.

"Kami berpendapat bahawa Seksyen 9(5) adalah sah dan tidak melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," kata Md Raus yang bersidang bersama-sama dengan Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Zamani A. Rahim.

Beliau berkata, mahkamah tidak dapat bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April tahun lepas dalam kes Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang memutuskan Seksyen 9(5) PAA tidak berperlembagaan.

Oleh itu, katanya, panel terpaksa beralih daripada keputusan terdahulu itu. 

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa raya terhadap keputusan membebaskan setiausaha eksekutif PKR Johor, R. Yuneswaran atas tuduhan menganjurkan perhimpunan 'Blackout 505' pada 2013. 

Yuneswaran, 28, selaku penganjur, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu pada 26 Sept 2013, selepas didapati bersalah gagal memberikan notis sekurang-kurangnya 10 hari kepada Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan untuk perhimpunan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat PKR di Jalan Beladau 19, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor, sekitar pukul 8.30 malam, 15 Mei 2013.

Bagaimanapun, pada 24 Ogos tahun lepas, dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Nik Nazmi yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) PAA tidak berperlembagaan.

Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan pendakwa raya untuk merujuk persoalan berkaitan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Pada Khamis, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

"Kami tidak mempunyai alasan untuk mengganggu hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen. Kami mengesahkan sabitan dan perintah mahkamah yang lebih rendah," kata Md Raus.

Yuneswaran membayar denda tersebut. 

Di luar mahkamah, peguam R. Sivarasa, yang mewakili Yuneswaran, memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu, penganjur kini boleh didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 9(5) PAA jika gagal memberikan notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.

Katanya, panel mahkamah juga tidak menjawab dua persoalan yang dibangkitkan oleh peguam semasa prosiding rayuan itu.

"Peguam dan orang awam akan keliru kerana terdapat dua set penghakiman yang bercanggah daripada mahkamah yang sama. Satu memutuskan ia tidak berperlembagaan dan satu lagi berkata ia berperlembagaan. Nak ikut yang mana satu?," katanya. - Bernama

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan