Suami Isteri Gagal Batal Saman Bekas Isteri Ghafar Baba

Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 5:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri pada Selasa gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman bekas isteri Allahyarham Tun Ghafar Baba yang menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta berikutan pelanggaran perjanjian dalam pemilikan hartanah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Keng menolak permohonan Tan Sri Lau Ban Tin dan isteri, Puan Sri Mary Lee Siew Cheng, yang merupakan ahli perniagaan dan memerintahkan kes saman tersebut didengar melalui perbicaraan penuh.

Penghakiman itu dibacakan Penolong Kanan Pendaftar V. Vanitha di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam M. Moghan, mewakili D. Heryati Abdul Rahim selaku plaintif dan peguam Low Peck Lim mewakili defendan.

Moghan ketika ditemui pemberita memberitahu mahkamah menetapkan 6 dan 7 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes itu.

Beliau berkata mahkamah juga menetap 21 Okt ini untuk pengurusan kes bagi memperhalusi isu-isu yang akan dibicarakan.

Pada 5 Februari lepas, D. Heryati memfailkan saman terhadap Lau dan Lee dengan menamakan mereka sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, D. Heryati mendakwa Lau dan Lee gagal memindahkan hak milik tanah seluas lapan hektar di Jelebu kepadanya berdasarkan perjanjian pada 20 Jun 2000.

D. Heryati mendakwa ketika itu beliau masih lagi isteri bekas timbalan perdana menteri itu dan memiliki saham bersama Ghafar dalam syarikat Zamrudvest Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan francais bagi 'EON Dealer and Franchise'.

Katanya pada sekitar tahun 2000, beliau dan Ghafar bercadang menjual perniagaan syarikat tersebut kepada defendan pada harga RM300,000 namun ia tidak termasuk penjualan tanah di Jelebu (dimiliki syarikat terbabit), dan tanah itu perlu dipindah milik ke atas namanya sebaik sahaja geran individu dikeluarkan.

Bagaimanapun dakwa D. Heryati, berdasarkan rekod pejabat tanah, ia (tanah) telah dipindah milik kepada Lau pada 19 Feb 2004 dan pada 16 April 2013 atas nama Tengku Ramli Tengku Mohd Kamil.

Beliau menuntut supaya Lau memindahkan kembali hak milik tanah tersebut atau secara alternatifnya membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan