Kes Bunuh Kevin Morais: Lapan Tertuduh Hadapi Hukuman Mati

Diterbitkan: Isnin, 28 September 2015 11:31 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi Isnin atas dakwaan membunuh Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Semua tertuduh bagi kesalahan membunuh ialah G Gunasekaran, 43; R Dinishwaran, 23; A Thinesh Kumar, 22; M Vishwanath, 25; S Nimalan, 22 dan S Ravi Chandaran, 34.

Enam tertuduh berkenaan didakwa membunuh Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul ke No 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya pada 4 September di antara jam 7 pagi dan 8 malam.

Sementara itu, seorang doktor tentera didakwa di mahkamah sama atas dakwaan bersubahat melakukan kesalahan itu pada 4 September lalu.

Bagi tuduhan bersubahat pula, tertuduh adalah Pakar Patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 52.

Kunaseegaran didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun sama, yang turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan pada 30 November bagi sebutan kes.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Datuk Abdul Razak Musa. Dhineshwaran diwakili peguam M Manoharan, manakala Kunasegaran diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, seorang lagi tertuduh Murugan Arujalan, 44, yang bekerja sebagai mekanik turut didakwa atas pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan yang sama.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Semua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mayat Morais, 55, ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini, pada 16 September lepas.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.





Tags / Kata Kunci: kes bunuh , Anthony Kevin Morais

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan