Mahkamah Persekutuan Kekal Keputusan Pua Tidak Menfitnah Syabas

Diterbitkan: Isnin, 21 September 2015 10:42 PM

tony pua

Tony Pua

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Anggota Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua tidak boleh dikatakan memfitnah pemegang konsesi air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azahar Mohamed, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim berkata mahkamah bersetuju keputusan Mahkamah Rayuan bahawa perkataan-perkataan yang dikatakan memfitnah mampu membawa makna munasabah yang dimaksudkan oleh Pua.

"Keputusan itu jelas wajar dan betul berasaskan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

"Tidakpun ditunjukkan kepada kami bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tentang isu ini adalah bertentangan dengan kekuatan bukti atau berlawanan dengan apa cara pun, hingga memerlukan campur tangan kami," kata beliau.

Semasa menolak rayuan Syabas, Azahar berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pua berjaya dalam mempertahankan justifikasi.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa berasaskan keterangan saksi perkataan yang dikatakan memfitnah mampu membawa makna munasabah yang dimaksudkan oleh Pua.


Dalam penghakimannya, Azahar bagaimanapun berkata, Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan silap bila memutuskan bahawa Pua berjaya dalam pembelaan perlindungan bersyarat "Reynolds Privilege" sebagaimana disebut dalam undang-undang fitnah Inggeris Reynolds lwn Times Newspaper Ltd.

Beliau berkata Pua gagal memenuhi syarat kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil langkah bertanggungjawab dan adil dalam mengumpul, mendapatkan pengesahan dan menerbitkan perkataan yang dipersoalkan dan Mahkamah telah terlepas pandang perkara berkenaan.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan gagal mengambil kira bahawa pengetahuan Pua mengenai kedudukan dan kegagalan sebenar Syabas untuk mendedahkan fakta itu mencerminkan tingkah lakunya yang tidak wajar dan bertentangan dengan konsep kewartawanan bertanggungjawab.

Azahar berkata ia adalah elemen genting dalam pembelaan "Reynolds Privilege" yang Pua perlu tunjukkan bahawa langkah bertanggungjawab dan adil telah dibuat bagi mengambil, mendapatkan pengesahan dan menerbitkan maklumat, dan adalah tidak memadai menaruh kepercayaan jujur bahawa kenyataan itu adalah benar.

Pada Januari 2011, Syabas memfail saman sivil terhadap Pua dengan mendakwa beliau telah membenarkan edisi Metro Nanyang Siang Pau menerbitkan perkataan-perkataan bersifat fitnah dalam artikel 16 Nov, 2010, berjudul "Tony Pua: Kerajaan Selangor perlu mendapat hak air bagi menyekat kenaikan kadar".

Pada 6 Jun, 2012, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan saman sivil dan memerintahkan Pua membayar Syabas RM200,000 sebagai ganti rugi.

Pada 17 Mac, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pua bagi mengetepikan keputusan Mahkamah tinggi itu, hingga mendorong Syabas membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan memberi Syabas kebenaran untuk merayu atas lima persoalan undang-undang.

Panel lima anggota dipengerusikan oleh presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif telah mendengar rayuan itu sebelum ini dan menangguhkan keputusan mereka ke hari ini.
Tags / Kata Kunci: Tony Pua , Syabas

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan