Kes Rasuah Doktor Tentera Ditangguh Kerana Kematian Kevin Morais

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2015 3:56 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menetapkan 19 Okt depan untuk sebutan semula kes pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran yang didakwa melibatkan diri dalam perniagaan selaku penjawat awam, berikutan kematian Timbalan Pendakwa Raya bagi kes itu Anthony Kevin Morais.

Hakim Sabariah Atan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail yang hadir bagi pihak pendakwaan, memohon satu tarikh baharu untuk mengetahui status kes berkenaan berikutan kematian Kevin Morais.

"Pohon penangguhan dalam tempoh sebulan untuk dapatkan status kes ini atas faktor Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais yang mengendalikan kes ini telah meninggal dunia," katanya.

Peguam Afifuddin Hafifi dan Mohd Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili Dr Kunaseegaran tidak membantah permohonan itu.

Dr Kunaseegaran, yang merupakan Ketua Makmal Patologi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) Wangsa Maju, selaku orang kena saman dalam kes berkenaan, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Doktor itu menghadapi dua pertuduhan iaitu sebagai penjawat awam yang masih dalam perkhidmatan sebagai Pakar Patologi di HATTM, didakwa mengambil bahagian dalam perniagaan bertempat di Syarikat Clinipath (Malaysia) Sdn Bhd di No. 23, Galeri Empire, Jalan Empayar Off Persiaran Sultan Ibrahim KU1, Klang dekat sini antara 9 April 2010 hingga 8 April 2011 dan antara 9 April 2011 hingga 31 Dis 2011.

Dr. Kunaseegaran, 52, yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dibicarakan bersama dengan satu lagi kes di bawah seksyen sama yang dihadapi doktor itu di Mahkamah Sesyen berasingan.

Di Mahkamah Sesyen berasingan itu, Dr. Kunaseegaran mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan selaku penjawat awam melibatkan diri dalam perniagaan di Syarikat Genomed Sdn Bhd, Tingkat 3, Galeri Empire, Jalan Empayar off Persiaran Sultan Ibrahim KU1, Klang pada 1 Jan 2012.

Ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya prosiding itu, Mohammed Heikal berkata sehingga kini, SPRM belum melantik Timbalan Pendakwa Raya lain untuk mengambil alih kes Kevin Morais.

Afifuddin pula berkata pihaknya amat terkejut dengan berita kematian Kevin Morais dan menyifatkan mendiang sebagai seorang rakan yang sangat cemerlang dan menakjubkan.

"Kami amat berharap keadilan dapat ditegakkan," katanya yang baharu dilantik mewakili Dr Kunaseegaran kira-kira tiga bulan lepas. Doktor itu sebelum ini diwakili oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Ditanya mengenai status pihak pembelaan dalam kes itu, Afifuddin berkata buat masa ini, pihaknya belum mendapat arahan lanjut daripada Dr Kunaseegaran dan akan mendapatkannya secepat mungkin.

Pada 9 Sept 2013, doktor itu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah RM700,000 daripada seorang pemilik syarikat pembekal peralatan perubatan.

Pada 20 Dis 2013, Dr. Kunaseegaran sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan menggunakan peralatan (HATTM) tanpa pengetahuan hospital itu.

Kevin Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Namun, mayat mendiang ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah dekat sini pada Rabu lepas.

Setakat ini, lima suspek berumur antara 22 hingga 52 tahun termasuk seorang doktor di hospital tentera ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Kevin Morais.

Tags / Kata Kunci: Tentera , Doktor , Bunuh , Rasuah

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan