Penolong Pegawai Penyiasat Didakwa Rasuah Terlibat RM26,000

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2015 2:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang Penolong Pegawai Penyiasat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas enam pertuduhan rasuah melibatkan RM26,000, tiga tahun lepas.

Sarjan Tajudin Mahadi, 51, bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Bagi tiga pertuduhan, Tajudin didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM11,000 daripada peniaga minuman, Low Chin Chew, 31, untuk melepaskan abangnya, juga peniaga minuman Low Chin Chuan, 34, yang ditangkap dan direman polis kerana terlibat dalam kes bakar kereta di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Tajudin didakwa melakukan kesalahan itu di biliknya, Tingkat 4, Pejabat Team C, IPD Cheras, di sini antara pukul 2.30 petang 3 Dis 2012 hingga pukul 1.10 tengahari 4 Dis 2012.

Tajudin turut didakwa atas dua lagi pertuduhan cuba memperoleh suapan iaitu wang tunai RM12,000 daripada individu sama, bagi tujuan dan lokasi sama pada pukul 4 petang 2 Dis 2012 hingga 6 petang 3 Dis, 2012.

Bagi pertuduhan keenam pula, tertuduh didakwa bersetuju menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM3,000 daripada Chin Chew, bagi tujuan dan di tempat sama pada pukul 11.21 pagi hingga pukul 11.23 pagi, 4 Dis 2012.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Tajudin didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof menawarkan wang jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes.

Tags / Kata Kunci: SPRM , Cheras , Rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan