Bunuh Remaja Perempuan: Hukuman Mati Ke Atas Pengawal Keselamatan Kekal

Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 5:58 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengekalkan hukuman mati terhadap seorang pengawal keselamatan kerana membunuh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan kemudian membakar mayatnya disebuah ladang kelapa sawit di Masai, Johor, empat tahun lepas.

Panel lima anggota yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, TanSri Md Raus Sharif secara sebulat suara menolak rayuan akhir D. Kalaiselvan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

Anggota panel lain terdiri dariapada hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Kalaiselvan, 50, dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu selepas didapati bersalah membunuh anak kawannya, Nur Rahayu Qomarudin, di Ladang Kelapa Sawit Sungai Masai, Masai, antara 2.30 pagi dan 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.

Tertuduh, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu dengan seorang lagi yang masih bebas, mengemukakan rayuan mengenai hukuman itu kepada Mahkamah Psersekutuan setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonannya pada 18 Mac tahun lepas.

Menurut fakta kes, pada 17 Jun 2011, kira-kira pukul 10.30 malam, mangsa telah pergi ke Sport Prima, Pandan, Johor Baharu bersama teman lelakinya untuk menonton permainan futsal.

Selepas itu, pada pukul 1 pagi, mangsa dan teman lelakinya singgah di sebuah gerai untuk minum dan 40 minit kemudian, mangsa meminta temannya menghantarnya dengan kereta pulang ke rumah kongsi yang didiami oleh keluarganya di BandarSeri Alam, Masai.

Setelah sampai di kawasan itu, teman lelakinya menurunkan mangsa berhampiran pondok pengawal di kawasan perindustrian di situ dan meminta mangsa menghubungi ayahnya supaya datang menjemputnya.

Bagaimanapun, ayah mangsa tidak menjawab panggilan tersebut dan oleh kerana sudah lewat malam, teman lelakinya meninggalkan mangsa di situ.

Pada kira-kira 2.20 pagi, teman lelakinya menerima panggilan daripada telefon bimbit mangsa dan mendengar suara mangsa sedang menangis dan meraung-raung.

Pada masa sama, teman lelakinya terdengar suara seorang lelaki berkata "kenapa kamu degil sangat, tidak mahu dengar cakap aku".

Teman lelakinya juga terdengar bunyi anjing menyalak dan suara lelaki itu mengarahkan mangsa duduk di atas motosikal sebelum panggilan tersebut terputus dan mangsa gagal dihubungi.

Susulan itu ayah mangsa dan teman lelakinya membuat laporan polis.

Hasil siasatan, polis menangkap Kalaiselvan yang kemudian menunjukkan tempat di mana dia telah membakar satu mayat dan tempat tulang-tulangnya berada dikawasan berparit di sebuah ladang kelapa sawit.

Bapa, teman lelaki dan ibu angkat mangsa kemudian mengecam sepit rambut danselipar milik mangsa yang dijumpai di ladang tersebut.

Menurut keterangan, Kalaiselvan memberitahu isterinya, P. Shanti, bahawa dia dan seorang kawannya telah membawa mangsa ke sebuah ladang kelapa sawit dan kemudian menikam leher mangsa dengan sebilah pisau.

Selepas membunuh mangsa, mayat mangsa dibakar di ladang kelapa sawit besebelahan dengan kubur India di situ.

Keterangan di mahkamah juga menunjukkan bapa mangsa, Qomarudin Bajuri, seorang kontraktor, mengenali tertuduh kerana biasa membeli makanan bungkus dan minuman untuknya.

Kalaiselvan diwakili peguam Maniam K. Marappan manakala  pendakwaan dikendalikanoleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Abdul Rahman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan